Saturday, May 30, 2009

30 Usahawan Telekomunikasi Dakwa Ditipu

KUALA TERENGGANU, 30 Mei (Bernama) -- Seramai 30 orang mendakwa mengalami kerugian berjumlah lebih RM2.5 juta setelah ditipu sebuah syarikat pengendali perkhidmatan telekomunikasi.

Wakil kumpulan itu, Khairul Nizam Ishak, 31, mendakwa mereka mengeluarkan modal antara RM80,000 hingga RM100,000 seorang untuk kos yuran penyertaan, bayaran peralatan, deposit dan kos penyewaan serta pengubahsuaian kedai.

"Maklumat mengenai pelancaran syarikat telekomunikasi ini pada awal tahun lepas telah disiarkan melalui media dengan dirasmikan orang kenamaan menyebabkan ramai yang berminat untuk menjadi ejen.

"Kami dikehendaki membayar yuran penyertaan sebanyak RM5,000 dan bayaran peralatan dan sistem sebanyak RM60,000. Namun sehingga kini masih ramai yang tidak mendapat barangan yang dijanjikan dan aplikasi jalur lebar yang didakwa hendak ditawarkan juga tidak ada," katanya.

Khairul mendakwa beliau bersama ejen lain telah berkali-kali menguhubungi pihak syarikat itu termasuk ketua pegawai eksekutifnya bagi mendapatkan penjelasan berhubung perkara itu, namun gagal.

Malah, katanya ibu pejabat syarikat itu di Kelana Jaya dan syarikat pencari ejen di Dungun juga ditutup menyebabkan beliau bersama enam lagi ejen dari Pulau Pinang, Kedah, Pahang dan Perlis membuat laporan polis hari ini di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu.

Khairul berkata beliau sanggup berhenti kerja sebagai juruteknik dan mengeluarkan wang simpanannya selama lapan tahun untuk menjadi ejen syarikat itu dan kini beliau terpaksa menganggur selain menanggung kerugian.

Syarikat terbabit yang dilancarkan awal tahun lepas menyediakan beberapa perkhidmatan tambahan seperti perkhidmatan protokol internet telefoni, akses internet jalur lebar, pengurusan protokol internet, kemudahan rangkaian privasi maya dan perkhidmatan aplikasi maklumat komunikasi.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment